SEREMBAN – Polis telah menahan seorang wanita warga asing dipercayai terlibat dalam kes kecurian barangan kemas milik seorang pempengaruh media sosial di Taman Laman Puteri, Nilai di sini.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, polis telah menerima laporan berkenaan kes kecurian tersebut oleh pengadu iaitu seorang wanita berusia 40-an yang juga pempengaruh media sosial, pada Jumaat lalu.
“Pada hari ini jam 8 pagi, polis terkesan satu klip video yang tular di laman sosial daripada wanita terbabit mengenai kecurian barangan kemas miliknya yang disyaki telah dicuri oleh bekas pekerjanya.
“Hasil siasatan awal mendapati, sebanyak tiga jenis barang kemas telah dicuri iaitu sebentuk cincin dan dua utas rantai leher yang dianggarkan kerugian lebih kurang RM60,000,” katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata, suspek disyaki adalah seorang lelaki warga asing yang telah dilantik oleh pengadu untuk melakukan pengubahsuaian rumahnya.
“Pada Sabtu lalu lebih kurang 1.15 pagi, polis telah pergi ke Kampung Bahagia Jiboi, Seremban, untuk mengesan suspek dan mendapati suspek dipercayai telah melarikan diri.
“Keesokannya pula, pada jam lebih kurang 11.30 malam polis telah menahan seorang wanita warga asing lingkungan umur 40-an dipercayai turut terlibat dalam kejadian ini,” katanya.
Katanya, setakat ini seramai tiga saksi telah diambil rakaman percakapan bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE