SHAH ALAM – Kira-kira 7,500 pemilik kenderaan perdagangan akan melakukan deklarasi sendiri setiap hari bermula hari ini terhadap lima item pemeriksaan tidak membabitkan keselamatan.
Ini melibatkan tanda badan kenderaan, tanda had laju, kita bantuan kecemasan, nombor pendaftaran dan keadaan tempat duduk penumpang.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) , Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, permohonan deklarasi kendiri telah ada dalam borang temujanji Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) seterusnya menjimatkan masa pemeriksaan.
Katanya, berdasarkan rekod sebanyak 70,000 pemilik gagal disebabkan tanda badan kenderaan setahun seterusnya menyebabkan kesemua pemeriksaan gagal.
“Namun, jangan ambil mudah dengan kelonggaran diberikan kerajaan berkaitan lima item ini.
“Saya pasti, pihak JPJ akan melaksanakan operasi dan telah mengarahkan pasukan penguat kuasa untuk memerhati dan meneliti lima item ini apabila menjalankan pemeriksaan di luar (atas jalan raya),” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau penambahbaikan slot pemeriksaan kenderaan di Puspakom Shah Alam, Seksyen 28 di sini, hari ini.
Beliau mengingatkan agar pemilik tidak melakukan penipuan disebabkan kompaun bagi satu item itu adalah sebanyak RM300.
“Jadi, bukan sewenang-wenangnya pemilik kenderaan boleh menipu. Daripada dia pasang itu dengan kos yang minimum, lebih baik dia pasang daripada kena tahan kita kat luar.
“Malah, pemeriksaan lima elemen ini juga akan dimasukkan dalam penguatkuasaan sepanjang Op Hari Raya Aidilfitri bermula 24 Mac hingga 8 April ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman menjelaskan, pengecualian pemeriksaan itu akan menjimatkan masa antara lapan hingga 10 minit bagi satu-satu kenderaan.
“Bermula hari ini, apabila membuat janji temu perlu tanda bersetuju melakukan deklarasi kendiri. Kalau di jalan raya tidak dipatuhi kena kompaun. Justeru, 100 peratus pematuhan.
“Kita anggarkan 7, 500 pemilik kenderaan akan buat pengakuan (deklarasi kendiri) setiap hari,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE