MACHANG – Seorang remaja menjadi mangsa pertama kes mercun apabila sebahagian jari hantu terputus selain cedera jari telunjuk kanan selepas tidak sempat melempar mercun bola yang dicucuh dalam kejadian di Batu 23, Jalan Sawmill, Labok di sini semalam.
Insiden pada pukul 8 malam itu turut menyebabkan kedua-dua jari Adam Aiman Noor Kamarul Azwan, 14, patah.
Ibu tiri mangsa, Siti Zuraini Muhammad, 24, berkata, ketika ini anaknya sedang dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai selepas mengalami pendarahan pada jari akibat letupan tersebut.
Menurutnya, Adam Aiman dikatakan mencucuh mercun bola, namun tidak sempat melempar sebelum ia meletup pada tangan.
“Saya menyedari kejadian itu selepas dimaklumkan oleh sepupu. Adam Aiman bermalam di rumah sepupunya di kampung sama malam tadi.
“Pada awalnya, dia menyembunyikan kesakitan. Sepupunya menyedari jari Adam Aiman terputus selepas melihat kesan darah pada tilam di dalam bilik semasa mengejutnya untuk bersahur,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Siti Zuraini memberitahu, dia kemudian membawa anaknya ke Hospital Machang di sini sebelum dihantar ke HSIP bagi mendapatkan rawatan.
Tambahnya, sebelum kejadian, Adam Aiman ada meminta wang daripadanya dengan alasan untuk membeli kuih untuk juadah berbuka puasa.
“Saya beri dia wang RM10 kerana kebetulan tiada duit kecil. Saya mengesyaki Adam Aiman membeli mercun kerana dia tidak memulangkan baki selepas membeli kuih,” katanya. – KOSMO! ONLINE