SUNGAI BULOH – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang dia tunggang terbabas sebelum merempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Persiaran Shorea, Saujana Utama, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 6.30 petang.
Katanya, siasatan mendapati mangsa berusia 23 tahun menunggang motosikal seorang diri dalam perjalanan dari rumahnya di Alam Perdana menghala ke bazar Ramadan, Saujana Utama.
“Motosikal dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan akibat jalan licin ekoran hujan lebat.
“Mangsa yang terjatuh menggelongsor hingga ke laluan bertentangan sebelum terlanggar bahagian depan MPV yang kebetulan melalui tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Hafiz berkata, mangsa yang bekerja sebagai operator kilang disahkan meninggal dunia di lokasi. Mayatnya dibawa ke Hospital Sungai Buloh dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE