KUALA TERENGGANU – Kes penipuan pelaburan tidak wujud membabitkan skim mata wang digital, kripto kian membimbangkan melibatkan kerugian mencecah puluhan juta ringgit sejak akhir-akhir ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sebahagian besar kerugian keseluruhan lebih RM123.64 juta disebabkan penipuan pelaburan tidak wujud sejak awal tahun ini melibatkan pelaburan mata wang kripto palsu terbabit.
“Kita sendiri tidak tahu mata wang kripto. Mudah-mudah kita memberi duit berjuta kepada sindiket untuk melabur bagi pihak kita padahal (ia sebenarnya) tidak dilaburkan.
“Mata wang kripto dipapar pada skrin berlipat ganda keuntungan. Labur RM4 juta, boleh dapat RM126 juta, langsung tidak masuk akal tetapi ada yang percaya,” katanya selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di sini hari ini.
Ramli berkata, tambah membimbangkan sebahagian mangsa pelaburan mata wang kripto tidak wujud ini merupakan golongan pesara yang kerugian jutaan ringgit.
Beliau berkata, salah satu kes penipuan mata wang kripto tidak wujud pernah diterima melibatkan seorang warga emas berusia 74 tahun di Johor yang kerugian puluhan juta.
“Warga emas jangan terlampu teruja melabur dalam mata wang kripto. Kadang-kadang kita guna simpanan dan meminjam kerana tertarik kononnya mendatangkan keuntungan banyak.
“Semua ini penipuan, ia bukan sahaja menyebabkan kerugian malah menyebabkan kecelaruan mental mangsa warga emas terbabit sepanjang baki hayatnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE