REMBAU – Seorang pemandu lori yang membawa muatan minuman keras terpaksa menahan sakit kira-kira 20 minit susulan tersepit dalam nahas tiga kenderaan berat di kilometer 232, Lebuh Raya Utara Selatan (arah selatan), dekat sini, petang tadi.
Dalam kejadian berkenaan, mangsa berusia lingkungan 50an tersepit di tempat duduk pemandu selepas lorinya merempuh bahagian belakang lori kontena yang membawa muatan barangan honda.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fuad Majid, sebaik tiba di lokasi, seorang pemandu masih tersepit di bahagian pemandu.
“Kita menerima panggilan pukul 5.55 petang dan tiba di lokasi pada pukul 6.08 petang. Kita berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam masa 10 minit menggunakan rescue cutter.
“Mangsa yang cedera telah diserahkan kepada pasukan paramedik bagi tindakan selanjutnya,” katanya, di sini hari ini.-K! ONLINE