MILAN – Masa depan Christian Eriksen bersama Inter Milan akhirnya terjawab selepas meledak gol kemenangan pasukan menewaskan musuh tradisi, AC Milan 2-1 pada suku akhir Piala Itali di Stadium San Siro awal pagi semalam.
Eriksen, 28, yang dimasukkan menggantikan Marcelo Brozovic di hujung perlawanan, membuktikan pemain tengah itu masih mampu menyumbang sesuatu kepada Inter apabila berjaya menyempurnakan sepakan percuma menarik pada minit ke-97.
Ia adalah gol pertama Eriksen daripada 14 perlawanan dalam semua kejohanan bersama The Nerazzurri musim ini.
Ketua jurulatih Inter, Antonio Conte menegaskan, beliau tidak akan menjual Eriksen meskipun kapten skuad antarabangsa Denmark itu cuma diturunkan sebanyak empat kali dalam kesebelasan utama pasukan kendaliannya musim ini.
“Sudah berkali-kali saya beritahu anda bahawa tiada siapa yang akan dibeli atau dijual dalam jendela perpindahan bulan ini.
“Eriksen mempunyai kepintaran dan kualiti yang jarang ada pada mana-mana pemain. Dia adalah sebahagian daripada projek pasukan ini,” katanya.
Kenyataan itu pastinya melegakan Eriksen yang sebelum ini dilaporkan mahu berhijrah
dengan beberapa pasukan dikatakan berminat mendapatkan khidmatnya seperti Arsenal dan juara Perancis, Paris Saint-Germain.
Sebagai rekod, Eriksen menyertai Inter daripada Tottenham Hotspur dengan yuran perpindahan bernilai £17 juta (RM94.49 juta) pada 28 Januari tahun lalu. – AGENSI