SEPANG – AirAsia Malaysia terus melebarkan rangkaian penerbangannya apabila mengumumkan pembukaan laluan baharu ke Darwin, Australia bermula 27 Jun depan.
Pembukaan laluan baharu itu dilihat memperkukuh komitmen AirAsia dalam mempertingkatkan kesalinghubungan antarabangsa antara Malaysia dan Australia, seterusnya berupaya memperkukuh hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Datuk Kapten Fareh Mazputra berkata, pembukaan laluan baharu itu menawarkan lebih banyak peluang kepada pelancong dan perniagaan untuk menerokai antara destinasi unik di Autralia.
“Kami juga membuka pintu baharu ke Asia dan destinasi lain untuk penduduk wilayah utara Australia.
“Seiring dengan pertumbuhan populariti pelancongan pengembaraan, kami melihat Darwin sebagai destinasi mempunyai potensi bagi rakyat Malaysia dan pelancong di seluruh Asia Tenggara menikmati perjalanan unik,” katanya hari ini.
Katanya, AirAsia juga menetapkan komitmen untuk meningkatkan kesalinghubungan di pasaran utama seiring matlamat menawarkan pilihan perjalanan berpatutan dan menjadikan Asia lebih mudah diakses oleh semua.
“Kami berharap dapat mengembangkan kehadiran kami dan membawa perkhidmatan bertaraf dunia ke destinasi menarik di Australia,” katanyq.
AirAsia menggunakan pesawat Airbus320 bagi penerbangan empat kali seminggu ke Darwin iaitu pada Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad.
Bagi meraikan pelancaran laluan ini, AirAsia menawarkan tambang promosi istimewa dengan penerbangan antara Kuala Lumpur dan Darwin bermula serendah RM299 sehala. – KOSMO! ONLINE