MOSCOW – Moscow melonggarkan sekatan Covid-19 berikutan situasi kesihatan di ibu kota Rusia itu semakin pulih walaupun banyak negara lain mengetatkan langkah membendung koronavirus.
Datuk Bandar Moscow, Sergei Sobyanin mengumumkan perubahan tersebut ketika negara-negara Eropah bersedia mengetatkan kawalan sempadan dengan Britain bergelut menghadapi gelombang ketiga dan Belanda berdepan rusuhan perintah berkurung Covid-19.
“Pandemik semakin surut dan dalam situasi begini, ia menjadi tanggungjawab kami untuk mewujudkan keadaan supaya ekonomi kita pulih seberapa segera yang boleh,” kata Sobyanin di laman blognya.
Mulai hari ini, bar, restoran dan kelab malam yang sebelum ini diwajibkan tutup menjelang 11 malam (waktu tempatan), akan dibenarkan dibuka sepanjang malam. Bagaimanapun, mereka perlu melaksanakan penjarakan sosial dan mematuhi garis panduan sanitasi.
Majikan juga tidak lagi diminta memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus kakitangan masing-masing bekerja dari rumah manakala pilihan bekerja dari rumah kini bergantung kepada budi bicara majikan.
Pengumuman Sobyanin bagaimanapun tidak menyebut tentang perhimpunan awam dengan larangan perarakan masih berkuat kuasa.
Sobyanin berkata hari ini bahawa sejak seminggu lalu, bandar raya yang didiami lebih 12 juta penduduk itu merekodkan purata 2,000 hingga 3,000 jangkitan baharu sehari. Ia jauh lebih rendah berbanding 7,000 kes harian semasa kemuncak gelombang Covid-19 di Mocow.
Menurutnya, 50 peratus katil di hospital-hospital kini kosong untuk kali pertama sejak pertengahan Jun lepas. – AFP