LONDON – Pengurus baharu Chelsea, Thomas Tuchel mengakui sangat gembira dan bangga diberi penghormatan untuk mengemudi pasukan itu selepas menandatangani kontrak selama 18 bulan di Stamford Bridge.
“Saya mahu berterima kasih kepada pihak pengurusan Chelsea yang memberikan kepercayaan mereka kepada saya dan pasukan kejurulatihan ini. Kami sangat menghormati legasi yang ditinggalkan oleh pengurus sebelum ini. Saya bersyukur kerana diberi kesempatan untuk menyertai keluarga besar Chelsea,” katanya.
Tuchel tidak mengambil masa yang lama apabila terus turun mengendalikan sesi latihan pertamanya bersama skuad Chelsea dalam persiapan mereka berdepan Wolverhampton Wanderers sebaik diumum sebagai pengganti Frank Lampard.
Bagaimanapun, pelantikan Tuchel menimbulkan kebimbangan dalam kalangan peminat terhadap nasib para pemain muda yang dilahirkan daripada Akademi Chelsea yang sebelum ini digilap oleh Lampard.
Namun, Tuchel mengakui Chelsea memiliki bakat muda seperti Mason Mount, Reece James dan Tammy Abraham yang mampu bermain dengan baik dan memiliki keyakinan setiap kali diturunkan.
Katanya, kesemua mereka akan terus diberikan peluang dan platform yang sebaik mungkin untuk terus mengembangkan karier tanpa mengira sama ada berstatus bintang atau sebaliknya.
Kehadiran Tuchel di Chelsea menyaksikan beliau bakal mendapatkan sokongan penuh pada jendela perpindahan musim panas nanti apabila bekas pengendali Paris Saint-Germain itu menamakan Erling Haaland sebagai sasaran mereka.
Perubahan yang berlaku di Stamford Bridge itu juga menyaksikan Chelsea mungkin memperlahankan usaha mereka untuk mendapatkan pemain tengah West Ham United, Declan Rice yang menjadi buruan hangat Lampard sebelum ini. – AGENSI