fbpx

‘Mungkin Raja Charles III minat lirik cinta tanpa penghujung’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hael Husaini terkejut apabila Raja Charles III menyukai lagu ciptaannya, Anta Permana.

PETALING JAYA – Lagu ciptaan berjudul Anta Permana menjadi pilihan Raja Britain, penyanyi juga komposer Hael Husaini terkejut apabila Raja Charles III memahami maksud karya tersebut walaupun ditulis dan dinyanyikan dalam bahasa Melayu.

Hael atau nama asalnya Hal Husaini Razmi, 37, percaya, Raja Charles III jatuh hati terhadap terjemahan lirik karya berkenaan, sama seperti dirinya yang mendengar seleksi lagu daripada pelbagai bahasa.

“Saya terkejut tetapi saya sendiri kadang-kadang banyak dengar lagu-lagu dari pelbagai bahasa. Konsepnya sama sahaja.

“Bila orang luar dengar dan berminat dengan sesuatu karya pasti mereka juga akan mencari maksud di sebalik lirik.

“Mungkin Raja Charles III minat dengan lirik lagu itu yang membawa maksud cinta tiada penghujungnya,” katanya semasa Tayangan Perdana Program Raya Astro 2025, baru-baru ini.

Berkongsi lanjut, pelantun lagu Diam itu turut menceritakan momen ketika menerima berita gembira tersebut selain yakin karya Malaysia mampu mencipta kejayaan di luar negara.

“Terkejut apabila dapat tahu berita apabila Datuk Seri Siti Nurhaliza yang tagged (menandai) saya dalam Instagram, sampai macam ini impaknya.

“Ini boleh jadi titik permulaan dimana lagu Malaysia jangan dipandang enteng. Sebenarnya kita ada peluang memperbesarkan karya kita di persada dunia.

“Alhamdulillah, Siti kongsi rezeki dengan saya dan Ezra Kong selaku penggubah bersama lagu ini. Terima kasih,” ujarnya.

Bangga apabila sentuhannya meraih perhatian Raja Britain itu, Hael menegaskan Biduanita Negara selaku penyanyi Anta Permana menjadi faktor utama karya tersebut mendapat tempat di hati Raja Charles III.

“Saya percaya tetapi nak kesahihan terpaksa buka Apple Music sebab nak rasa penangan. Bila dia sebut nama Siti, Ya Allah bangganya sebagai rakyat Malaysia.

“Sebenarnya yang sebaris penyanyi antarabangsa ialah Siti. Kami di belakang hanya sebagai pendukung.

“Lagu itu sendiri rasa hasil kerjasama kami. Tanpa Siti kami tidak sampai situ,” jelasnya.

Sebelum ini, Apple Music melancarkan program The King’s Music Room, yang menghimpunkan karya dari negara-negara Komanwel sebagai meraikan kepelbagaian muzik dunia.

Nama Siti Nurhaliza turut disenaraikan bersama penyanyi antarabangsa seperti Bob Marley, Diana Ross, Beyoncé serta Michael Bublé.

Anta Permana yang dilancarkan pada 2018 membuat kemunculan pada minit ke-43 dalam 17 senarai lagu yang dipilih sempena sambutan Hari Negara-Negara Komanwel

Rakaman The King’s Music Room berlangsung di Istana Buckingham, memaparkan perjalanan muzik yang membentuk pengalaman serta memori peribadi Raja Charles III. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI