KLANG – Dua lelaki maut selepas ditetak sekumpulan lelaki bersenjata di sebuah premis perniagaan di Taman Sentosa di sini, malam tadi.
Kejadian kira-kira pukul 10.20 malam itu menyebabkan mangsa warga tempatan berusia 36 dan 38 tahun masing -masing meninggal dunia di tempat kejadian serta hospital.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian individu cedera akibat pergaduhan, kira-kira pukul 10.50 malam.
Jelasnya, siasatan awal mendapati sekumpulan suspek menetak kedua-dua mangsa di sebuah premis.
“Ketika kejadian, salah seorang mangsa melarikan diri dan disahkan meninggal dunia kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian manakala seorang lagi dibawa ke sebuah hospital pakar di Klang, namun maut setibanya di situ,” katanya hari ini.
Menurut Hoong Fong, mayat dua lelaki itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah bagi proses bedah siasat, manakala semakan mendapati mereka mempunyai sekurang-kurangnya satu rekod jenayah lampau.
Terdahulu, tular beberapa video di media sosial memaparkan sekumpulan lelaki menaiki beberapa kenderaan bertindak menyerang mangsa di lokasi berkenaan. – KOSMO! ONLINE