BAGAN DATUK – Polis menerima tujuh laporan kes buli membabitkan kira-kira 62 pelajar yang dilakukan pelajar senior di sebuah sekolah berasrama penuh di Teluk Intan, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Bagan Datuk, Superintenden Mohammad Ali Mohd. Jali berkata, kejadian itu berlaku sekitar pukul 10 malam pada 8 Mac lalu, apabila pelajar tingkatan dua dan tiga dipanggil pelajar senior untuk melakukan tekan tubi sehingga 200 kali.
Katanya, tindakan berkenaan menyebabkan pelajar berusia 14 dan 15 tahun itu mengalami kecederaan termasuk bengkak tangan dan sakit otot.
“Kejadian buli dipercayai dilakukan dua pelajar senior tingkatan empat dan lima itu terbongkar selepas seorang daripada mangsa membuat laporan polis pada 12 Mac lalu,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk, di sini hari ini.
Menurut beliau, pihaknya akan merakam keterangan dua pelajar senior tersebut setelah permohonan perintah untuk menyiasat (OTI) diperoleh daripada timbalan pendakwa raya (TPR).
“Kita akan panggil dua pelajar tersebut setelah dapat kebenaran OTI daripada TPR. Kes ini bukanlah melibatkan pergaduhan, tetapi lebih kepada tindakan senior untuk disiplinkan pelajar-pelajar junior, cuma caranya tidak betul,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, sekumpulan pelajar mendakwa menjadi mangsa buli pelajar senior selepas dipaksa membuat tekan tubi sebanyak 200 kali ketika berkumpul di surau sekolah berkenaan. – KOSMO! ONLINE