TOKYO – Acara ujian temasya Sukan Olimpik 2020 di Tokyo yang sepatutnya dilangsungkan bermula Mac depan bakal ditunda ke tarikh yang baharu susulan penularan pandemik Covid-19 yang kini memasuki gelombang baharu di negara Jepun.
Berdasarkan rancangan awal, acara ujian bagi sukan renang berirama sepatutnya akan disertai oleh 10 kontinjen antarabangsa dengan saingan akan dilangsungkan di Pusat Akuatik Tokyo pada 4 hingga 7 Mac depan.
Kini, beberapa sumber rapat penganjur kejohanan telah mengesahkan bahawa acara ujian tersebut akan ditunda dan kemungkinan dilangsungkan pada April atau Mei depan.
Keputusan itu dibuat selepas perbincangan yang dilakukan oleh Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) dan Persekutuan Renang Jepun (JASF) memandangkan pintu antarabangsa masih lagi ditutup sekali gus menyukarkan negara terlibat untuk menghantar atlet mereka.
“Bagaimanapun, tiada wakil daripada FINA dan JASF mengesahkan perkara ini,” menurut laporan media tempatan semalam.
Malah, Jepun telah mengisytiharkan darurat di Tokyo dan beberapa wilayah lain selama sebulan berkuat kuasa awal bulan ini hingga 7 Februari depan sekali gus menghalang segala proses keluar dan masuk warga antarabangsa ke negara itu.
Meskipun sebelum ini Jepun membenarkan atlet luar negara yang mahu melakukan persiapan untuk temasya Sukan Olimpik dibenarkan masuk tanpa sebarang masalah, keistimewaan tersebut turut ditarik balik.
Sebelum ini, terdapat dakwaan baharu kejohanan sukan terbesar dunia akan dibatalkan tetapi penganjur kejohanan dan kerajaan menafikan dakwaan tersebut dengan mengesahkan temasya itu tetap dilangsungkan bermula 23 Julai depan. – AGENSI