NEW DELHI – Sebuah keluarga di negeri Andhra Pradesh, India terkejut apabila menemui seekor ular berlingkar di dalam alat penyaman udara mereka yang sudah lama tidak digunakan, lapor portal berita India Today semalam.
Penemuan menakutkan itu berlaku di kejiranan Pendurthi, bandar Visakhapatnam baru-baru ini.
Selepas ular itu dikesan, mereka bergegas menghubungi penangkap ular untuk mendapatkan bantuan.
Situasi bertambah cemas apabila penangkap ular itu menemui beberapa ekor anak ular dalam penyaman udara tersebut.
Rakaman dimuat naik di platform X oleh akaun @TeluguScribe menunjukkan penangkap ular berjaya mengeluarkan semua reptilia tersebut.
Klip video itu mencatatkan lebih 99,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi netizen.
“Jika ini terjadi kepada saya, saya tidak dapat tidur dengan tenang,” kata seorang netizen. – AGENSI