NEW DELHI – Seorang atlet dari India menempa nama dalam Guinness World Records selepas menahan sepasang tiang Hercules selama 2 minit dan 10.75 saat, lapor portal berita India Today semalam.
Aktiviti itu merujuk kepada seseorang atlet memegang dua batang tiang berat daripada jatuh seberapa lama yang boleh.
Vispy Kharadi, 45, mencatatkan rekod untuk individu paling lama menahan tiang Hercules bagi kategori lelaki.
Percubaan itu dilakukan di bandar Surat, negeri Gujarat.
Rakaman dimuat naik di platform X memaparkan Kharadi menahan dua tiang gergasi dengan setiap satu memiliki berat 166.7 kilogram dan 168.9 kilogram.
Klip video itu menjadi tular sehingga disiarkan semula oleh orang terkaya di dunia, Elon Musk.
“Ia satu kejutan yang baik apabila Musk berkongsi video saya dalam akaun X miliknya.
“Saya juga sangat gembira kerana dipuji oleh seluruh dunia,” katanya. – AGENSI