JERANTUT – Seorang pemuda maut apabila motosikal yang ditunggangnya melanggar seekor lembu yang melintas jalan di Kilometer 6, Jalan Jerantut – Maran di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Zukri Muhammad berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 pagi itu, mangsa Wan Taufiq Haikal, 23, dalam perjalanan dari arah Maran ke Jerantut.
“Apabila tiba di tempat kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC telah melanggar seekor lembu yang melintas dari kiri ke kanan jalan.
“Akibat kejadian, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,”katanya di sini hari ini
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Jerantut untuk bedah siasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE