KUALA SELANGOR – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memperuntukkan dana berjumlah RM652,470 bagi menyantuni 12,380 anak-anak yatim di negeri ini.
Penyerahan sumbangan itu diserahkan Pengerusinya, Datuk Salehuddin Saidin kepada Pengerusi Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), Tan Sri Mazlan Mansor di Masjid Taman Alam Jaya, Puncak Alam di sini, hari ini.
Turut berkenan berangkat, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang menghadiri majlis Sumbangan Hari Raya Anak Yatim daerah Kuala Selangor itu.
Baginda menyerahkan sumbangan kepada 525 daripada 1,102 anak yatim dengan peruntukan berjumlah RM165,300.
Setiausaha MAIS, Dr. Ahmad Shahir Makhtar berkata, dana menerusi peruntukan sumbangan Baitulmal dan Tabung Amanah majlis itu diserahkan kepada YIDE selaku penyelaras kepada anak yatim dan rumah pertubuhan di Selangor.
“Seramai 12,380 anak yatim yang berdaftar di bawah YIDE tahun ini menerima sumbangan hari raya RM150 setiap seorang.
“Kami berharap sumbangan itu membantu kebajikan dan menceriakan mereka untuk meraikan Aidilfitri nanti,” katanya.
Jelas beliau, sebahagian dana turut dimanfaatkan bagi pengurusan rumah-rumah anak yatim yang berdaftar di bawah YIDE. – KOSMO! ONLINE