SUNGAI PETANI – Sekumpulan individu bertempiaran lari meninggalkan minuman dan makanan selepas sebuah restoran di Tikam Batu, dekat sini diserbu penguat kuasa agama, hari ini.
Serbuan pada pukul 11 pagi itu dilakukan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), Pejabat Agama Daerah Kuala Muda (PADKM) dan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK).
Ketika serbuan dilakukan, beberapa pelanggan bertempiaran lari ke arah bukit di belakang premis berkenaan meninggalkan minuman dan makanan di atas meja bagi mengelak ditahan.
Seramai empat pelanggan yang tidak sempat melarikan diri ditahan di dalam premis.
Mereka dikenakan notis di bawah Seksyen 14 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2014 kerana tidak menghormati bulan Ramadan dan diminta hadir ke Pejabat Agama Daerah Kuala Muda untuk di rakam keterangan.
Ketua Unit Penguat Kuasa PADKM, Shuib Ismail@Yusuf berkata, Ops Plastik Hitam dilakukan hasil risikan pasukannya sejak hari pertama Ramadan memandangkan premis tersebut terkenal sebagai lokasi tumpuan mereka yang culas berpuasa.
“Kita mendapati premis itu menjalankan perniagaan seawal pukul 8 pagi dan memberi alasan hanya menjual makanan secara penghantaran terus kepada pelanggannya yang terdiri daripada pekerja asing sektor perkilangan sekitar Tikam Batu.
“Namun begitu, risikan kita mendapati premis tersebut menjadi antara kawasan ‘panas’ di daerah Kuala Muda kerana menyediakan makanan kepada pelanggan secara bungkus selain membenarkan pelanggan menjamu selera di situ,” katanya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE