VILLARREAL – Bintang Real Madrid, Kylian Mbappe mula mencipta nama tersendiri dan layak digelar penggempur utama pasukan itu apabila kini sudah memintas rekod dicipta legenda kelab berkenaan, Ronaldo Nazario.
Mbappe berjaya meledak 31 jaringan untuk semua kejohanan dalam musim pertama bersama Real, satu gol mengatasi jumlah jaringan Ronaldo pada 2002 ketika baru berhijrah daripada Inter Milan.
Ia hasil dua jaringan daripada Mbappe membantu Real untuk bangkit menewaskan Villarreal 2-1 pada aksi La Liga di Estadio de la Ceramica awal pagi semalam.
Menariknya, Mbappe turut meraikan jaringan dengan membuat gaya ikonik milik Cristiano Ronaldo kerana hanya ketinggalan tiga gol untuk memintas jumlah gol musim pertama seorang lagi legenda Real itu.
“Mereka adalah legenda buat kelab ini. Jika saya jaringkan lebih banyak gol berbanding Ronaldo dan Cristiano, ia tidak bermakna saya lebih hebat daripada mereka.
“Ia hanyalah musim pertama saya lebih bagus. Menjaringkan gol amat penting tetapi menang La Liga, Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan Piala Raja Sepanyol lebih bermakna buat pasukan,” kata Mbappe.
Sementara itu, pengendali Real, Carlo Ancelotti mengecam tindakan La Liga yang tetap mengarahkan pasukannya beraksi dalam ‘kepenatan’ selepas terpaksa beraksi kurang 72 jam daripada perlawanan terakhir mereka.
“Pasukan mempunyai sesuatu yang istimewa, karakter, komitmen,” kata Ancelotti yang turut mengugut Real enggan lagi bermain tanpa “rehat 72 jam” antara perlawanan seperti diunjurkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). – AGENSI