fbpx

Harimau Malaya ketiga termahal di Asean

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
COOLS kekal menjadi pemain termahal dalam skuad Harimau Malaya dengan nilai RM3.8 juta.

DI atas kertas, skuad Harimau Malaysia dianggap sebagai antara yang ‘paling mahal’ di rantau Asia Tenggara menjelang aksi kelayakan Piala Asia 2027 selepas memiliki nilai pasaran pemain mencecah €7.15 juta (RM36.4 juta).

Jumlah tersebut adalah nilai pasaran keseluruhan 27 pemain yang terpilih ke sesi latihan pusat kebangsaan oleh ketua jurulatih, Peter Cklamovski berdasarkan tanda harga diletakkan laman sukan terkemuka, transfermarkt.com.

Bintang berdarah kacukan Malaysia-Belgium, Dion Cools yang beraksi bersama kelab Thailand, Buriram United kekal dengan status pemain termahal dalam skuad iaitu dengan nilai pasaran sebanyak €800,000 (RM3.8 juta).

Tonggak sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi yang juga pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia tiga tahun berturut-turut adalah pemain kedua termahal dengan tanda harga mencecah €600,000 (RM2.9 juta).

Selain itu, tiga lagi pemain seperti Matthew Davies yang bernilai RM2.2 juta, Faisal Halim (RM1.7 juta) dan penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi (RM1.6 juta) melengkapkan ‘Top 5’ status pemain termahal skuad kebangsaan ketika ini.

Pemain berdarah warisan dari Sepanyol, Natxo Insa dan tonggak naturalisasi, Mohamadou Sumareh menjadi dua pemain yang memiliki nilai pasaran terendah dalam skuad Harimau Malaya dengan tanda harga sekitar RM365,000.

Keputusan Cklamovski untuk menyenaraikan kedua-dua pemain yang mewakili kelab JDT itu turut mencetuskan perdebatan dalam kalangan peminat dan pemerhati bola sepak kebangsaan baru-baru ini.

Jika dibandingkan dengan negara-negara rantau Asean yang turut bersaing di kelayakan Piala Asia 2027, Malaysia berjaya mengatasi Vietnam yang memiliki nilai pasaran pemain mencecah €6.08 juta (RM29.5 juta).

Thailand pula memiliki harga pasaran pemain kebangsaan yang lebih mahal dengan €8.73 juta (RM42.7 juta), manakala Indonesia yang ketika ini bersaing dalam kelayakan Piala Dunia, kekal unggul dengan €36.5 juta (RM177 juta).

Skuad Harimau Malaya akan ‘berkampung’ di Johor Bahru bermula hari ini untuk menjalani latihan pusat selama lapan hari sebelum mengharungi aksi kelayakan Kumpulan F menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 25 Mac depan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI