KOTA BHARU – Sebanyak 112 kompaun bernilai RM12,300 dikeluarkan terhadap peniaga makanan di Kelantan selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan sepanjang dua minggu Ramadan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, jumlah kompaun berkenaan dikeluarkan selepas pemeriksaan terhadap 3,433 buah premis dijalankan di seluruh negeri ini sehingga semalam.
Menurutnya, pemeriksaan berkenaan dilakukan di premis makanan termasuk di bazar Ramadan dan gerai-gerai di tepi jalan.
“Daripada keseluruhan kompaun, kesalahan paling banyak dikesan adalah pengendali makanan tidak mematuhi peraturan pemakaian seperti tidak memakai apron atau kasut.
“Selain itu, kebanyakan pengendali makanan juga didapati tidak mendapatkan suntikan anti-tifoid,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Hilmi memberitahu, kesemua peniaga dikenakan kompaun mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 yang membabitkan nilai berjumlah RM12,300.
Menurutnya, semua pengendali makanan di Kelantan diingatkan supaya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. – KOSMO! ONLINE