BATU PAHAT – Sepasang suami isteri yang baru mendirikan mahligai impian ditemui meninggal dunia bersama selepas kereta Honda Insight yang dinaiki terlibat dalam kemalangan di Kilometer (KM) 128.3 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), arah utara, berhampiran Yong Peng di sini, pagi semalam.
Mohd Shahrul Nizam Mohd Ali, 24, dan isterinya, Nursuhada Kartika Razak, 23, yang masih lagi dalam fasa berbulan madu baharu sahaja tiga bulan mendirikan rumah tangga sejak Disember tahun lalu.
Pasangan itu yang melangsung majlis hari bahagia itu pada Januari lalu ditemui meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada anggota badan.
Menurut ibu saudara mangsa, Nur Nabila Huda Syawal Doraisamy, 23, sebelum kejadian pada pukul 6.30 pagi itu, pasangan itu difahamkan dalam perjalanan dari Mersing ke Sungai Besi, Kuala Lumpur
“Saya adik kepada ibu Mohd Shahrul, kakak saya cakap mereka nak ke Kuala Lumpur katanya nak jalan-jalan berbuka di sana dan mungkin sambil-sambil cari baju atau kuih raya.
“Mereka baharu berkahwin pada Disember tahun lalu, tidak sangka usia perkahwinan mereka tidak lama dijemput Ilahi bersama-sama.
“Apa yang menyentuh hati kami, isteri arwah Mohd. Shahrul ditemui meninggal dunia dalam keadaan memegang dokumen seperti kad pengenalan diri, sijil atau kad kahwin di atas riba, mungkin untuk memudahkan pengurusan jenazah apabila mereka sudah tiada,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Nur Nabila berkata, Mohd. Shahrul merupakan anak kedua lapan beradik bekerja sebagai penyelia ladang di sebuah ladang kelapa sawit manakala isterinya suri rumah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kemalangan melibatkan dua buah kenderaan yang dalam perjalanan dari arah Johor Bahru ke Kuala Lumpur.
“Kereta dinaiki pasangan suami isteri itu dipercayai hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar penghadang lebuh raya lalu berpusing beberapa kali.
“Sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X90 yang berada di belakang gagal mengelak lalu melanggar kenderaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Shahrulanuar berkata, akibat perlanggaran itu, pasangan suami isteri disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Manakala pemandu SUV yang berusia 50-an mengalami kecederaan dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar untuk rawatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.-KOSMO! ONLINE