SHAH ALAM- Semua reformasi kerajaan dan institusi Parlimen yang dirancang Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu dilaksanakan secara berhati-hati dan berhemah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hal tersebut perlu dilakukan dengan cara tersebut supaya segala perancangan reformasi itu dapat diterima semua pihak, tanpa mengira kaum dan agama.
“(Dalam agenda reformasi yang dirancang) ada yang takut reformasi ini dibuat kerana ia akan merugikan kaum mereka.
“Sekiranya ia dilakukan secara mendadak, ia akan menyebabkan kejatuhan sesebuah kerajaan dan lebih membimbangkan nasib kumpulan rakyat tidak terbela,” katanya ketika berucap pada Kongres parti DAP ke-18 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini hari ini.
Beliau mengambil contoh peristiwa Revolusi Perancis yang berlaku lebih satu abad lalu, yang mana revolusi tersebut gagal akibat beberapa pemimpin negara berkenaan bertelagah mengenai perkara apa yang hendak diubah sehingga mengabaikan golongan miskin.
Bagaimanapun, Anwar tidak mahu menjadikan peristiwa ini sebagai alasan sesebuah perubahan tidak boleh dibuat.
“Misalnya kami gubal Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan bagi memastikan dasar perolehan dan tender kerajaan mesti ikut proses yang betul.
“Kami juga pinda Akta Perkhidmatan Parlimen (yang telah dimansuhkan 33 tahun lalu) untuk memberi kebebasan kepada Parlimen walaupun pihak pembangkang membantah dengan cara ambil pendirian berkecuali),” katanya.- KOSMO! ONLINE