KUCHING – Seorang lelaki warga emas maut dalam keadaan mengerikan selepas badannya tercucuk bilah jentera forklift dalam kejadian di sebuah kilang di Estet Perindustrian Pending di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisoner Mohd. Farhan Lee Abdullah berkata, dalam kejadian pukul 4 petang itu, mangsa berusia 70 tahun ditemukan tersepit antara susunan palet dengan bilah forklift tercucuk pada dada kiri.
“Siasatan awal mendapati mangsa merupakan pekerja kilang dan pemandu forklift semasa kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak di sini untuk bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – KOSMO! ONLINE