PETALING JAYA – Nama penyanyi dan pelakon Bella Astillah dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq terus menjadi bualan hangat kali ini gara-gara reaksi spontan mereka ketika sesi siaran langsung dalam TikTok.
Dalam video tular, Bella dan Syed Saddiq berada dalam sebuah kenderaan selepas selesai memberi sumbangan kepada penduduk di Muar, Johor.
Namun, situasi berubah apabila Bella secara tiba-tiba bertanya mengenai pemilik telefon yang digunakan untuk siaran langsung, menyangka milik Jack, pembantu Syed Saddiq.
Tanpa diduga, Ahli Parlimen Muar itu dengan tenang menjawab, “Abang punya lah.”
Lebih mengundang tawa, Syed Saddiq yang pada awalnya tidak menyedari perbualan mereka disiarkan secara langsung, terus menunjukkan riak terkejut sebelum cuba menukar topik perbualan.
Gelagat Syed Saddiq yang seolah-olah ‘terkantoi’ menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat.
“Dia tak tahu tengah live, kantoi,” komen netizen.
“Dahulu ‘jangan kacau itu saya punya’, sekarang ‘abang punyalah’ kahwin sahajalah cepat-cepat,” tulis pengguna TikTok.
“Betul lah, dengar sah dia panggil abang. Sudah semakin teruk gila angau saya. Kantoi, tak apa YB. Kami tak dengar pun,” seloroh seorang netizen.
Baru-baru ini, hubungan rapat Bella dan
Syed Saddiq semakin hangat diperkatakan selepas masing-masing dipilih menjadi duta sebuah jenama pakaian.
Gosip cinta dua personaliti popular yang digelar BASS (Bella Astillah Syed Saddiq) itu turut tular hingga ke Korea Selatan menerusi video menunjukkan ahli politik itu terjun ke laut dan berenang menuju ke Bella yang menantinya di Semporna, Sabah.
Meskipun tidak mengesahkan status hubungan, ramai yang bersetuju kedua-dua figura popular terbabit mendirikan rumah tangga. – KOSMO! ONLINE.