KUALA LUMPUR – Pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom membuktikan kualitinya sebagai penerus legasi kepada legenda, Datuk Azizulhasni Awang yang mesra disapa Jijoe.
Ia susulan pencapaia hebatnya memenangi pingat emas acara keirin pada Kejohanan Piala Negara-Negara UCI di Konya, Turkiye awal pagi tadi.
Pada aksi final yang berlangsung di Velodrom Konya itu, Shah mempamerkan kayuhan cukup bertenaga sebelum melintasi garisan penamat sebagai pemenang pada saat-saat akhir menewaskan pelumba Perancis, Sebastien Vigier dan Shinji Nakano dari Jepun.
Pada perlumbaan penuh mendebarkan itu, Shah dilihat sabar menunggu peluang terbaik untuk melakukan pecutan saat akhir bagi mengetepikan cabaran Vigier yang meraih pingat perak serta pemenang gangsa, Nakano.
Kemenangan itu pastinya menjadi pencapaian cukup bermakna buat Shah Firdaus memandangkan dia berdepan situasi cukup mencabar pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 di Nilai, Negeri Sembilan bulan lalu akibat kecederaan lutut.
Meskipun berdepan kecederaan, namun dia masih mampu mempamerkan kayuhan cukup bertenaga apabila meraih pingat perak acara keirin, perak pecut berpasukan serta gangsa pecut individu lelaki. – KOSMO! ONLINE