SANAA – Serangan pertama Amerika Syarikat(AS) terhadap puak Houthi di Yemen sejak Presiden Donald Trump berkuasa pada Januari lalu membunuh sekurang-kurangnya 21 orang, ketika Washington memberi amaran kepada Iran untuk berhenti menyokong militia tersebut.
Militia Houthi yang menyerang Israel dan laluan perkapalan di Laut Merah sepanjang perang Gaza berlangsung berkata, kanak-kanak adalah antara yang terbunuh dalam serangan bertubi-tubi Washington.
Seorang jurugambar AFP di Sanaa yang dikuasai militia Houthi mendengar bunyi tiga letupan kuat dan melihat kepulan asap naik ke udara dari kawasan perumahan. Serangan AS turut dilaporkan di rantau Saada, utara Yemen yang menjadi kubu kuat puak Houthi.
“Sembilan orang awam terbunuh dan sembilan lagi cedera, kebanyakan mereka parah,” kata kementerian kesihatan dan alam sekitar Houthi dalam satu kenyataan kepada agensi berita Saba.
Serangan di Saada pula membunuh sekurang-kurangnya 10 orang dan mencederakan sebilangan lagi, demikian menurut laman web Houthi Ansarollah. Laman web itu mengutuk serangan Washington yang disifatkan sebagai ‘jenayah kejam’.
Satu serangan berasingan ke atas sebuah rumah di daerah Alshaaf Saada membunuh dua orang, kata Ansarollah.
Pusat Perintah AS (CENTCOM) menyiarkan imej jet-jet pejuang AS berlepas dari sebuah kapal induk dan bom merobohkan bangunan semasa serangan dilancarkan.
Menurut CENTCOM, ‘serangan ketepatan’ itu dilancarkan untuk melindungi kepentingan Amerika, menghalang musuh, dan memulihkan kebebasan navigasi. – AFP .