JAKARTA – Seorang wanita maut dibaham seekor buaya gergasi ketika keluar mengutip sayur bayam di sebatang sungai di Buru Selatan, wilayah Maluku, lapor portal berita Mail Online semalam.
Kejadian berlaku sekitar pukul 8.20 pagi (waktu tempatan) di Sungai Air Biak pada Rabu lalu.
Mangsa bernama Tarti Kolengsusu, 43, sempat menjerit meminta tolong dan cuba berenang kembali permukaan air semasa kejadian.
Rakan-rakan Tarti cuba menariknya daripada gigitan reptilia tersebut tetapi gagal.
Rakaman dimuat naik di media sosial memaparkan reptilia itu berenang di dalam air sambil menggigit kepala mangsa.
Ketua Polis Buru Selatan berkata, wanita itu ditemui mati dua jam selepas pencarian dilakukan.
“Mayatnya telah dibawa pulang ke rumah untuk dikebumikan.
“Kami akan berbincang dengan agensi berkaitan untuk mengambil tindakan segera terhadap pembiakan buaya di kawasan berkenaan,” tambahnya. – AGENSI