WASHINGTON – Imej dirakam kenderaan penjelajah Marikh milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) mencetuskan teori makhluk asing berada di planet berkenaan, lapor portal berita MailOnline.
Foto disiarkan baru-baru ini memaparkan apa yang didakwa oleh orang ramai sebagai objek terbang tidak dikenali (UFO) Tic Tac.
Objek ‘UFO Tic Tac’ itu berbentuk silinder atau bujur dan bukan mempunyai reka bentuk sfera.
Ia dilihat di landskap berbatu di planet tersebut, kelihatan seperti bayang-bayang di atas tanah.
Pada 2004, komander Tentera Laut Amerika Syarikat (AS), David Fravor yang sedang pernah melihat objek putih ,licin dan bujur ketika mengendalikan pesawat. Objek itu kemudian digelar UFO Tic Tac.
Namun, segelintir netizen menafikan objek dirakam di Marikh itu UFO.
“Ia hanya batu licin,” kata seorang pengguna platform Reddit.
Imej itu mula-mula dikongsi di Reddit minggu lalu berserta kapsyen: “Sebuah Tic-Tac (UFO) dikesan di Marikh oleh kenderaan NASA.” – AGENSI