GUA MUSANG – Seorang penghantar barang maut akibat serangan jantung maut apabila trak pikap jenis Toyota Hilux dipandunya terbabas sebelum merempuh sebatang pokok kelapa sawit di Kilometer 14, Jalan Gua Musang-Jeli di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati mangsa, Chong Chee Kong, 57, dalam perjalanan dari arah Gua Musang menghala ke Jeli ketika kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu berlaku.
“Kenderaan itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kiri jalan sebelum merempuh sebatang pokok kelapa sawit. Rempuhan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Gua Musang untuk menerima rawatan awal.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di hospital dan hasil bedah siasat mendapati Chee Kong maut akibat serangan jantung. Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih dijalankan. – KOSMO! ONLINE