KLANG -Seorang wanita maut selepas dipercayai jatuh dari jambatan I-City sebelum mayatnya dilanggar kenderaan di Kilometer 6.5 Lebuh Raya Persekutuan hari ini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pihak polis menerima maklumat kejadian itu kira-kira pukul 3.17 petang dan identiti wanita itu belum dikenal pasti.
“Wanita itu disahkan meninggal dunia oleh pembantu pegawai perubatan Hospital Shah Alam. Siasatan awal mendapati wanita itu turut dilanggar kenderaan awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata beliau, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan mangsa boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Shaharuddin di talian 013-3736222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE