KUALA KANGSAR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM3,250,676 daripada empat buah syarikat korporat dan individu kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) di Istana Iskandariah di sini hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md. Salleh berkata, penyerahan zakat perniagaan itu didahului Boustead Plantations Berhad yang diwakili Ketua Pegawai Kewangannya, Nina Wirasatria Md. Husni dengan zakat berjumlah RM250,676.
“Ia disusuli penyerahan zakat pendapatan individu oleh Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal diwakili oleh Syed Amir Nidzamuddin Syed Abu Hussin berjumlah RM2,400,000.
“Ia diikuti Empayar Indera Sdn. Bhd. yang diwakili oleh Pengurus Besarnya, Datuk Hasrin Abdul Rahman berjumlah RM200,000.00,” katanya di sini hari ini.
Syamsul Hazeman berkata, penyerahan zakat perniagaan seterusnya dilakukan oleh Perbadanan Aset Keretapi diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azhar Ahmad berjumlah RM200,000.
“Penyerahan zakat terakhir adalah oleh Public Islamic Bank Berhad diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syamsul Azuan Ahmad Fauzi dengan jumlah RM200,000,” katanya.
Majlis penyerahan zakat berkenaan seterusnya disusuli dengan majlis iftar bersama media, pertubuhan bukan kerajaan, sektor korporat, swasta, syarikat berkaitan kerajaan dan belia. – KOSMO! ONLINE