PETALING JAYA – Sebanyak lapan unit struktur haram yang dibina di kaki lima dirobohkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu operasi bersepadu di Pasar Borong Kuala Lumpur, semalam.
DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi itu turut melibatkan beberapa agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia, Tenaga Nasional Berhad dan Jabatan Imigresen.
Katanya, tindakan roboh itu dilaksanakan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
“Selain tindakan perobohan struktur haram, sebanyak enam kediaman yang dijadikan setor penyimpanan barangan perniagaan turut dikenakan tindakan sita.
“Selain itu, seramai 16 pekerja bukan warganegara telah ditahan dan dibawa oleh JIM bagi tujuan dokumentasi,” katanya hari ini.
Tambah DBKL, semua sisa struktur yang telah dirobohkan telah dilupuskan, manakala barangan yang disita dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja, Cheras untuk tujuan rekod dan dokumentasi.
Menurut DBKL, tindakan pemantauan dan penguatkuasaan akan terus dijalankan di lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti bagi memastikan pematuhan undang-undang.
“Orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat dipautan https://adukl.dbkl.gov.my/,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE