MUAR – Seorang suri rumah berputih mata apabila wang simpanannya RM412,443 lesap diperdaya sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang tidak wujud.
Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, polis menerima laporan kejadian dari mangsa wanita warga tempatan berusia 58 tahun semalam.
Katanya, mangsa menerima satu mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada individu yang tidak dikenali menawarkan satu pelaburan dalam talian.
“Pada peringkat permulaan mangsa melabur sebanyak RM500 dan mendapat untung RM67 dalam masa 24 jam.
“Setiap pelaburan yang dibuat mangsa, diberitahu hasil keuntungan oleh individu tersebut sebelum diminta membuat pelaburan besar bagi mendapat keuntungan lebih banyak,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Raiz Mukhliz, disebabkan percaya dengan hasil keuntungan yang ditawarkan individu terbabit, mangsa membuat 35 transaksi ke dalam tujuh akan bank yang berbeza berjumlah RM412,443 mulai 23 Januari hingga 6 Mac lalu.
Katanya, mangsa mula curiga apabila dia diminta untuk membuat pembayaran tambahan sekiranya ingin mengeluarkan keuntungan yang terkumpul dalam aplikasi tersebut.
“Menurut mangsa, kerugian RM412,443 berkenaan adalah dari hasil wang simpanannya,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE