NAIROBI – Seorang lelaki warga United Kingdom maut selepas dilanggar sebuah kenderaan yang mengiringi Presiden William Ruto di Kenya, lapor portal berita Africanews.
Kejadian berlaku di Jalan Ngong, Nairobi kelmarin.
Polis mengesahkan seorang pemandu dalam konvoi tersebut gagal menekan brek menyebabkan pelanggaran berlaku.
“Edgar Charles Frederick, 79, disahkan meninggal dunia selepas dilanggar sebuah kenderaan yang dikaitkan dengan Presiden Kenya.
“Pemandu tersebut ditahan dan dibebaskan dengan jaminan. Dia akan dihadapkan ke mahkamah.
“Bedah siasat akan dilakukan, manakala siasatan sedang giat dijalankan,” kata polis. – AGENSI