MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ruben Amorim percaya pasukannya sudah berjaya menunjukkan peningkatan terutama melibatkan kekuatan mental biarpun gawang mereka dibolosi.
Dalam dua aksi sebelum ini, United berjaya menafikan hasrat Arsenal untuk meraih kemenangan apabila terikat 1-1 selain berjaya membenam Real Sociedad 4-1 pada aksi kedua pusingan 16 terbaik Liga Europa biarpun mereka terlebih dahulu ketinggalan.
“Saya fikir pada perlawanan terakhir, kami lebih memahami mengenai idea apa yang kami perlu lakukan. Kami mula faham dengan lebih baik mengenai perancangan perlawanan.
“Kami dibolosi terlebih dahulu, tetapi tidak mudah hilang tumpuan untuk dibolosi gol kedua. Kami memahami momen dalam perlawanan dan cara untuk kami bermain dengan lebih baik,” katanya.
United bakal turun berdepan Leicester City di Stadium King Power awal pagi esok dan terdesak untuk meraih kemenangan bagi memperbaiki kedudukan apabila menghuni tangga ke-14 dengan mengumpul 34 mata setakat ini.
Pada pertemuan sebelum ini, United berjaya mencatat kemenangan 2-1 ke atas skuad kendalian Ruud Van Nistelrooy itu pada aksi pusingan keempat Piala FA pada Februari lalu.
“Segalanya sangat penting dan kami perlu meneruskan perasaan untuk meneruskan kemenangan. Kami sudah melakukannya, kami tunjukkan ketika berdepan Arsenal dan kali ini kami perlu lupakan kedudukan liga, hadapi Leicester seperti mana Sociedad,” jelasnya. – AGENSI