LONDON – Harga emas mencecah AS$3,000 (RM13,333) untuk satu auns atau 28.34 gram buat pertama kali dalam sejarah semalam, lapor saluran berita CNN.
Kenaikan itu dirangsang oleh permintaan untuk aset selamat ketika pelabur bimbang tentang tarif dan dasar geopolitik Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Harga satu auns emas mencecah rekod AS$3,005 (RM13,354) sebelum menurun dan didagangkan pada AS$2,994 (13,305) pada sebelah pagi (waktu tempatan).
Pengarah Urusan syarikat kewangan Evelyn Partners, Jason Hollands menyifatkan emas ketika ini menjadi aset panik pilihan ramai pelabur.
Beliau berkata, kenaikan harga terkini mencerminkan ketidakpastian melampau yang dihadapi oleh sistem perdagangan global.
Pada Rabu lalu, Washington mengumumkan tarif 25 peratus ke atas semua keluli dan aluminium yang diimport ke Amerika Syarikat. Langkah itu mencetuskan tindakan balas pantas dari Kanada dan Kesatuan Eropah (EU).
Trump kemudian mengancam mengenakan tarif 200 peratus ke atas minuman beralkohol dari EU melainkan Eropah membatalkan tarif 50 peratus yang dikenakan ke atas minuman keras Amerika.
Dasar perdagangan pentadbiran Trump juga dilanda dengan ketidakpastian yang mampu melumpuhkan perniagaan.
Semua perkembangan itu menambah kebimbangan tentang kemungkinan berlakunya kelembapan ekonomi di seluruh dunia.
Perang Ukraine adalah satu lagi faktor yang menyebabkan berlakunya kenaikan harga emas. – AGENSI