BEREGU wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah mendedahkan hampir tidak dapat turun gelanggang untuk aksi suku akhir All England menentang Chiharu Shida-Nami Matsuyama dari Jepun di Utilita Arena Birmingham semalam.
Ia disebabkan kecederaan buku lali dialami Pearly dalam pusingan kedua menentang pasangan Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti kelmarin.
Thinaah mengakui mereka sudah bersedia untuk menarik diri sebelum perlawanan menentang Shida-Matsuyama, namun akhirnya membuat keputusan untuk tetap turun ke gelanggang.
“Sejujurnya, kami memang bercadang untuk tidak bermain. Masa menuju ke gelanggang, kami tidak benar-benar melakukan pemanasan badan, banyak berbual dan memberi semangat. Tapi ini All England, rugi kalau tak cuba,” kata Thinaah kepada Astro Arena.
Menurut Thinaah, pada awalnya mereka hanya mahu mencuba beberapa mata pertama untuk menilai keadaan Pearly di gelanggang.
“Kami rancang untuk bermain dua atau tiga mata sahaja, tetapi semakin lama, kami semakin seronok. Paling penting, dia (Pearly) tidak merasa sakit,” katanya.
Pasangan No. 5 dunia itu juga sudah berjanji untuk menghentikan perlawanan sekiranya kesakitan semakin terasa, namun semangat mereka untuk bertarung tetap tinggi sehingga tamat perlawanan.
“Saya tahu akan lebih letih tetapi siapa sangka kami berjaya menamatkan perlawanan ini,” tambahnya.
Biarpun berdepan kekangan fizikal, Pearly-Thinaah tetap memberikan tentangan sengit kepada pemenang pingat perak Sukan Olimpik Paris 2024 di ranking ketiga dunia itu sebelum tumbang 17-21, 19-21 dalam pertarungan selama 41 minit.
Kekalahan itu sekali lagi menyaksikan perjalanan mereka terhenti di suku akhir buat kali keempat dalam lima penyertaan All England selepas edisi 2021, 2022 dan 2024 selain pernah tersingkir seawal pusingan pertama dua tahun lalu.