fbpx

‘Aidilfitri suram, baju raya pelanggan diterbangkan ribut’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aidilfitri Aini menunjukkan kain dan pakaian yang dapat diselamatkan dalam kejadian itu di Taman Ria, Sekinchan, Sabak Bernam, hari ini. - Foto oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED/ KOSMO!

SABAK BERNAM – Hasrat seorang tukang jahit menyiapkan baju raya bertukar duka apabila sebahagian daripada lapan gulung kain itu musnah selepas rumahnya di Taman Ria, Sekinchan di sini, dilanda ribut Selasa lalu.

Mangsa, Aidilfitri Aini Shahdan, 48, berkata semua kain yang dibelinya di sebuah gedung tekstil itu dianggarkan bernilai RM6,800.

Katanya, dia saban tahun menjual baju raya yang telah siap selain mengambil tempahan khas mengikut permintaan pelanggan.

“Namun, malang menimpa saya tahun ini apabila kain yang dibeli itu basah dan kotor akibat ribut.

“Selain gulungan kain, sebanyak 30 helai pakaian tempahan turut rosak dan sebahagiannya diterbangkan angin. Ada pelanggan juga telah membayar deposit sebanyak 10 peratus,” katanya ketika ditemui di kediamannya hari ini.

Menurut Aidilfitri, kejadian berlaku ketika dia dan suaminya, Mohemmed Shukri Chandraneru Abdullah, 49, keluar mengambil anak mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang.

“Setibanya di rumah, kami melihat bumbung rosak teruk dan air hujan memenuhi rumah. Malah, siling dan lantai basah serta dinding papan asbestos juga mulai reput,” ujarnya.

Justeru, pasangan itu mahu menjual pakaian yang masih boleh diselamatkan pada harga serendah RM5 hingga RM50 kepada pelanggan bagi meringankan beban mereka.

Orang ramai yang berminat boleh menghubungi Aidilfitri di talian 010-7784276 bagi pertanyaan dan maklumat lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI