BINTANG olahraga negara, Muhammad Azeem Fahmi pastinya bangkit menebus kekecewaan selepas gagal mara ke pentas final 60 meter (m) dalam dewan Grand Final Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) musim ini.
Pelari terpantas negara itu hanya ketinggalan 0.05 saat (s) untuk menempatkan diri antara lapan terpantas daripada peringkat saringan berlangsung di Virginia, Amerika Syarikat (AS) semalam.
Biarpun catatannya konsisten selain turut memecahkan rekod 60m dalam dewan kebangsaan sebanyak dua kali tahun ini tetapi masa dilakukannya semalam iaitu 6.61s masih belum memadai untuk atlet berusia 20 tahun itu membuat penampilan pertama di perlumbaan akhir.
Enggan terus dibuai rasa kegagalan, Azeem kini sudah bersedia mengalihkan fokusnya kepada acara kegemarannya, 100m dalam misi memperbaharui satu lagi rekod kebangsaan miliknya, 10.09s yang diciptanya pada 2022.
“Acara dalam dewan adalah menyeronokkan. Bersyukur atas segala peluang dan rezeki yang datang sepanjang musim dalam dewan ini.
“Alhamdulillah, sekarang masa untuk perkara yang sebenar. Outdoor,” kata Azeem yang memuat naik kenyataan di IG Story miliknya semalam.
Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), John Ballard turut berbangga dengan pencapaian Azeem yang disifatkan sebagai satu petanda cukup positif buat perkembangan masa depannya.
Kini, atlet berasal dari Teluk Intan, Perak itu mungkin turun bersaing perlumbaan 100m pertamanya pada saingan Yellow Jacket Invitational di Atlanta, Georgia berlangsung 21 Mac ini.