fbpx

70 peratus kemasukan SBP, MRSM tahun depan mesti aliran STEM – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar berucap pada Majlis Peluncuran Wakaf Mara Madani 2025 di WTCKL, hari ini. - Foto oleh AMIR KHALID/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kerajaan menetapkan syarat baharu iaitu 70 peratus kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan sekolah berasrama penuh (SBP) tingkatan empat pada tahun depan mesti daripada aliran pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, syarat terbaharu itu susulan kemerosotan minat dalam kalangan anak-anak Melayu terhadap aliran berkenaan.

“Mulai tahun depan tanpa kecuali. Ada ibu bapa takkan senang (syarat baharu), ada tekanan. Minat anak Melayu dalam STEM ini merosot,” katanya berucap pada pada Majlis Peluncuran Wakaf Mara Madani 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut meminta pihak yang terlibat berusaha dalam mengembalikan minat pelajar terhadap STEM.

“Mulai tahun ini beri tumpuan kepada semua sama ada MRSM, SBP, sekolah menengah agama tanpa kecuali untuk ambil langkah segera.

“Berikan tekanan supaya ada minat yang bertambah dalam kalangan anak kita untuk masuk aliran STEM,” katanya.

Katanya, galakan untuk pelajar mengambil aliran STEM juga seiring dengan keadaan pada masa kini.

“Ekonomi melonjak, kecerdasan buatan (AI) yang menjadi dasar utama, pusat data semakin bertambah selain minat melabur juga sangat membanggakan,” katanya.

Sebelum ini, Anwar mencadangkan kira-kira 70 peratus pelajar di SBP di bawah Kementerian Pendidikan dan MRSM memilih bidang STEM mulai tahun depan.

Beliau dipetik berkata, usaha untuk meningkatkan penyertaan pelajar dalam bidang tersebut perlu dimulakan segera memandangkan ia merupakan bidang yang penting. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI