TELUK INTAN – Seramai 13 lelaki warga Nepal yang terlibat dalam cubaan mencetuskan rusuhan di hadapan sebuah kilang sarung tangan di Batu 8, Jalan Changkat Jong di sini semalam, ditahan reman selama empat hari mulai hari ini.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, perintah reman sehingga Selasa depan itu diperoleh selepas kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan pagi tadi.
Katanya, permohonan reman itu dikemukakan pihak polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
“Kesemua yang ditahan itu merupakan pekerja kilang warga Nepal berusia 24 hingga 39 tahun selepas disyaki mencetuskan rusuhan dan menghalang tugas pihak berkuasa,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Bakri berkata, kejadian rusuhan itu berlaku berikutan kemalangan langgar lari melibatkan seorang lelaki warga Nepal di lokasi berkenaan.
Katanya, dalam kemalangan itu, mangsa berusia 26 tahun maut di lokasi kejadian lalu menyebabkan kira-kira 1,000 pekerja kilang telah turun ke tempat kejadian dan berkumpul di atas jalan raya sehingga menghalang lalu lintas. – KOSMO! ONLINE