fbpx

Konsisten menyimpan di KWSP agar simpanan berkembang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

SUNGAI BULOH – Rakyat Malaysia sebagai pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disaran untuk konsisten menyimpan di tabung persaraan tersebut untuk menikmati sepenuhnya kesan penggandaan pulangan melalui dividen setiap tahun.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, prestasi pelaburan KWSP sememangnya memberangsangkan dengan kadar dividen melebihi kadar inflasi jangka panjang iaitu 2.5 peratus setahun.

“Ini bererti dividen itu seharusnya memberi kesan positif terhadap kuasa beli para pencarum.

Mohd Afzanizam

“Tambahan pula, wang yang disimpan dalam KWSP akan menikmati kesan pengganda yang tinggi terutamanya bagi ahli yang tidak kerap mengeluarkan wang mereka dalam dana KWSP,” katanya.

Baru-baru ini KWSP mengumumkan kadar dividen 6.30% bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah, dengan jumlah agihan masing-masing sebanyak RM63.05 bilion dan RM10.19 bilion. Ini menjadikan jumlah keseluruhan agihan untuk tahun 2024 sebanyak RM73.24 bilion.

Mohd. Afzanizam berkata, kelebihan ­menyimpan dalam KWSP adalah ia memastikan kesejahteraan para pencarum menerusi pengumpulan dana bagi tujuan persaraan, yang mana sebahagian daripada gaji yang dicarum akan di­laburkan dengan cara berhemah, menghasilkan pulangan konsis­ten.

“Pada masa sama, pencarum tetap perlu cakna bahawa ­prestasi pelaburan KWSP, seperti juga mana-mana dana pelaburan lain tidak bersifat statik serta sentiasa terdedah kepada risiko kemeruapan pasaran,” ujarnya.

Kadar dividen sebanyak 6.3 peratus bagi kedua-dua Simpanan Shariah dan Simpanan Konvensional tahun 2024 dilihat melangkaui jangkaan penganalisis, malah ia merupakan dividen terbaik dana persaraan utama negara itu sejak 2017.

Pengarah Program MBA, Putra Business School, Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ia merupakan satu kejutan yang positif dan lebih mengujakan, dividen Simpanan Shariah telah men­yamai Simpanan Konvensional.

“Statistik semasa menunjukkan daripada 16 juta ahli KWSP, hanya 2.2 juta sahaja yang meletakkan simpanan mereka di Simpanan Shariah.

“Saya lihat perkara ini boleh menggalakkan lebih ramai ahli yang beragama Islam untuk berpindah kepada Simpanan Shariah kerana ia menjanjikan pulangan yang setimpal, atau sama dengan Simpanan Konvensional,” katanya.

Tambah beliau, dalam persekitaran pasaran global yang dilihat lebih mencabar tahun ini, KWSP dijangka terus memberikan prestasi baik.

“Kedudukan KWSP mampu kekal teguh dengan strategi pelaburannya yang pelbagai dan tidak bergantung pada satu pasaran sahaja.

“Kelebihan KWSP adalah dari segi saiz dananya yang besar dan sentiasa bertambah setiap bulan hasil simpanan pencarum.

Gloria

“Ini meletakkannya pada kedudukan terbaik untuk meraih peluang yang baharu muncul daripada situasi sekarang baik di pe­ringkat domestik mahupun global, yang mana kita tahu pelaburan tentunya memerlukan modal dan sesetengah daripadanya memerlukan satu jumlah yang besar,” ujarnya.

Bagi seorang kakitangan swasta, Gloria Harry Beatty, mengetahui bahawa simpanan hasil titik peluhnya memberikan pulangan kukuh adalah sesuatu yang amat melegakan, terutamanya kerana dividen setinggi itu adalah satu keistimewaan yang jarang berlaku.

Jelasnya, pulangan tersebut memberi keyakinan kepada pencarum bahawa KWSP terus menjadi institusi yang stabil dan secara konsisten memberi ganjaran kepada ahlinya dengan pulangan yang kompetitif.

“Secara peribadi, saya tidak pernah mengeluarkan dana dari Akaun Fleksibel, tetapi jika keadaan memerlukan, saya bersyukur kerana pilihan itu tersedia.

“Adalah menyenangkan untuk men­getahui bahawa simpanan saya akan terus berkembang sehingga persaraan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI