SIK – Seorang buruh binaan bernasib baik apabila besi cerucuk yang dipacak untuk membina longkang tidak mengenai otaknya apabila dia terjatuh ketika melalui kawasan pembinaan tersebut di Kampung Bukit Hangus, Jeneri.
Pengarah Briged Sukarela Yayasan Jariah Malaysia (BSYJM) Mahadzir Abdul Hamid, berkata ketika kejadian lebih kurang pukul sembilan pagi tadi, mangsa dikenali sebagai Azlam Mahmood, 56, berasal dari Batu 3, Gurun sedang menaiki motosikal roda tiga ke tapak pembinaan longkang di kawasan ladang kelapa sawit.
“Ketika menunggang motosikal itu, kemungkinan mangsa hilang keseimbangan motosikal yang ditunggangnya kerana jalan di kawasan itu tidak rata menyebabkan motosikalnya terbalik.”
“Akibat daripada itu mangsa terjatuh ke dalam parit yang masih dalam pembinaan dengan besi-besi untuk konkrit simen itu masih tercacak dan ia tertusuk di rahang mangsa,” kata Mahadzir.
Menurutnya, ketika anggota BSYJM sampai, orang kampung yang mungkin sedang melalui kawasan tersebut terserempak dengan mangsa dan telah menolongnya dengan memotong besi yang telah dikonkrit itu.
Tindakan memotong besi itu untuk mengelakkan muka mangsa tertusuk lebih panjang yang mungkin akan membebankan lagi keadaan mangsa kerana besi itu berat dan agak besar.
“Sebaik sampai mangsa masih dalam keadaan sedar dan anggota BSYJM membantu merawat kecederaannya untuk mengelakkan pendarahan yang lebih serius dan membawanya ke Unit Kecemasan Hospital Daerah Sik untuk rawatan seterusnya.”
“Pasukan Bomba dan Penyelamat Daerah Sik terpaksa dipanggil untuk membantu mengeluarkan besi cerucuk bersaiz Y12 (sebesar ibu jari) ini yang panjangnya hampir satu meter dan kerja-kerja pemotongan memakan masa hampir sejam,” kata Mahadir. – KOSMO! ONLINE