fbpx

Istimewanya bubur lambuk berperisa daging diedar di USIM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Tajudin (sembilan dari kiri) dan Mohamad Azlan (lapan dari kiri) bergambar bersama kakitangan Media Mulia, StraComm dan Mahsuri Dagang di Pusat Islam USIM, Nilai kelmarin. – AMIR KHALID

SEREMBAN – Mahsuri Dagang Sdn. Bhd. (Mahsuri Dagang) bersama Media Mulia Sdn. Bhd. (Media Mulia) mengedarkan 1,000 bubur lambuk percuma kepada warga kampus Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan komuniti sekitar di Pusat Islam USIM, Nilai di sini kelmarin.

Program Kongsi Berkat Bubur Lambuk yang dilaksanakan itu turut mendapat kerjasama Pusat Komunikasi Strategik (StraComm) USIM.

Edaran pek bubur lambuk yang turut diisi satu botol Kicap Manis Pedas Mahsuri Dagang itu adalah sebahagian daripada usaha ­menyemarakkan bulan Ramadan di samping melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat yang diamalkan setiap tahun bagi membantu golongan yang memerlukan.

Pengarah Bukan Eksekutif Mahsuri Dagang, Datuk Ahmad Tajudin Idris berkata, program ini me­rupakan tahun keempat pihaknya bersama Media Mulia dan kali ini memilih menyantuni warga kampus dan golongan akademik untuk pelaksanaan program terbabit.

“Peluang yang baik di bulan Ramadan ini, kami ambil bagi mengeratkan silaturahim.

“Bagi Mahsuri sendiri, kami konsisten dalam melaksanakan program CSR sebegini pada setiap tahun bagi menggandakan lagi nilai serta sumbangan supaya dapat dikongsikan dengan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan pengedaran bubur lambuk di Pusat Islam USIM.

Turut hadir Pengarah Urusan dan Pengarang Kumpulan Media Mulia, Mohamad Azlan Jaafar dan Naib Canselor USIM Prof. Datuk Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani.

Ahmad Tajudin menerangkan, program yang memerlukan kerjasama erat daripada pihak industri dan masyarakat pastinya akan memberi manfaat kepada masyarakat.

“Kami bercadang untuk memperbanyakkan lagi program CSR yang dapat membantu golongan lebih memerlukan seperti anak- anak yatim,” katanya.

Selain itu, Sharifudin amat mengalu-alukan jalinan ukhwah dan kerjasama dengan pihak industri apatah lagi dalam bulan Ramadan.

“Menerusi program sebegini, ia dapat dilihat bagaimana masyarakat dan industri bersama Insititusi Pengajian Tinggi (IPT) seperti USIM dapat memberi manfaat bukan sahaja kepada mahasiwa tetapi juga kepada komuniti sekitar,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Azlan menerangkan, penganjuran bersama program ini juga sebagai usaha syarikat memperkenalkan dua akhbar yang dinaungi iaitu Utusan Malaysia dan Kosmo! termasuk Mingguan Malaysia Kosmo! Ahad dan kesemua portal.

“Sebelum ini, kami mengadakan program yang sama di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan hari ini di USIM. Tujuannya adalah untuk kami memperluaskan lagi pembaca dalam kalangan golongan pendidik dan pelajar.

“Lebih kurang 40 hingga 50 peratus pembaca dikuasai Media Mulia untuk akhbar Bahasa Melayu dan saya berharap pembaca akan dapat terus menyokong dan setia bersama kami.

“Kami akan merancang beberapa program lagi selepas ini terutamanya mengembalikan siri jelajah dalam membantu golongan fakir miskin.

“Perancangan tersebut sedang dijalankan,” katanya.

Dalam pada itu, Tukang Masak, Mohd Hafis Mohd Yusof yang mempunyai pengalaman memasak bubur lambuk selama tujuh tahun menjelaskan, penyediaan untuk menghasilkan bubur tersebut telah dijalankan secara bergotong-royong dengan melibatkan kira-kira 60 peserta dalam kalangan kakitangan dan organisasi terlibat.

Katanya, bubur lambuk kali ini dihidangkan dengan rasa yang berbeza, disertai dengan ramuan istimewa seperti daging segar yang dimasak dalam tempoh yang lama sehingga empat jam bagi menghasilkan bubur lambuk yang benar-benar enak.

“Penyediaan bahan juga telah disediakan sejak semalam dan acara memasak bubur lambuk secara gotong – royong itu bermula kira-kira pukul 8 pagi dan selesai kira-kira pukul 11.30 pagi.

“Untuk penganjuran program kali ini, tiga periuk besar dengan 30 kilogram (kg) beras dan 36 kg daging segar telah digunakan untuk menyediakan bubur lambuk berperisa daging,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI