SEREMBAN – Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning seminggu sebelum penamaan calon yang dijadualkan pada 12 April depan.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, satu majlis ringkas pengumuman calon akan diadakan pada 5 atau 6 April agar calon dapat menyesuaikan diri dan orang ramai boleh kenal siapa calon kita.
“Bila masa selepas hari penamaan calon nanti beliau boleh terus berkempen, sekali gus menyantuni seramai mungkin pengundi lebih kurang 31,000 pengundi di Ayer Kuning itu. Insya Allah,”katanya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Bakul Makanan di sini hari ini.
Menurut Mohamad, setakat ini Menteri Besar Perak, Datuk Seri Shaarani Mohammad telah menyenarai pendek calon-calon yang difikirkan layak dan boleh mewakili parti.
Mohamad yang juga merangkap Menteri Luar berkata, seramai enam calon daripada Pemuda UMNO turut di senarai pendek pada PRK tersebut. – KOSMO! ONLINE