KUALA LUMPUR – Tidak suka berhutang, penyanyi Black Hanifah menegaskan villa miliknya di Pulau Langkawi, Kedah dibina tanpa sebarang pinjaman bank.
Menurut Black atau nama sebenarnya Hanifah Muhammad Hanafiah, 38, segala kos datang daripada wang simpanan peribadi dan hasil jualan beberapa aset.
“Saya tak berhutang dengan mana-mana bank, semuanya dibayar tunai.
“Segala perniagaan termasuk villa itu hasil titik peluh sendiri, selain saya jual rumah untuk dijadikan modal,” katanya kepada Kosmo! Online.
Sudah lali dengan spekulasi liar, pelantun lagu Aku Rindu Sayang Kamu itu enggan membalas kecaman netizen sebaliknya memilih untuk terus fokus kepada kejayaannya sendiri.
“Saya tak ambil peduli kalau ada yang bercakap buruk tentang saya.
“Bagi saya, kalau satu jari tunjuk ke arah saya, empat lagi tunjuk ke arah mereka sendiri.
“Saya percaya rezeki datang daripada usaha dan menabung. Sekarang saya dah buktikan,” ujarnya pada majlis berbuka puasa anjuran Nova Music, 17 Eleven Music dan Future Music, semalam.
Sebelum ini, bapa dua anak itu pernah didakwa terlibat aktiviti pengubahan wang haram apabila dikatakan memiliki kapal mewah dan sebidang tanah di Pulau Langkawi.
Bagaimanapun, dia menafikan tuduhan tersebut dan menegaskan semua aset dimiliki adalah hasil kerja keras sejak mula bergelar penyanyi.
Perkembangan lain, Black berkolaborasi buat pertama kali dengan Adira menerusi single raya Syawal Rindu yang boleh didengari di semua platform digital sejak 14 Mac lalu. – KOSMO! ONLINE.