SUBANG JAYA – Polis mengeluarkan saman terhadap seorang pemandu treler yang memandu secara berbahaya di Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) selepas video kejadian itu tular di media sosial pada Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya mengesan pemandu berusia 23 tahun itu dan mengambil keterangannya pada pukul 3 petang semalam.
“Hasil siasatan mendapati pemandu tersebut mengaku cuai dalam mengendalikan kenderaannya sehingga menyebabkan muatan treler tidak diikat dengan kemas, sekali gus membahayakan pengguna jalan raya lain.
“Tindakan saman telah dikeluarkan di bawah Kaedah-Kaedah Lalulintas, LN 18 166/1959 kerana membawa muatan berbahaya dan tidak kemas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihak polis memandang serius sikap sambil lewa pemandu kenderaan berat yang boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.
Jelasnya, penguatkuasaan berterusan akan dijalankan bagi memastikan tindakan undang-undang diambil terhadap pemandu gagal memastikan muatan diikat rapi yang mana kesalahan itu boleh dikenakan denda sehingga RM2,000. – KOSMO! ONLINE