SUBANG JAYA – Polis kini masih giat mengesan suspek yang terlibat dalam kes pembunuhan seorang lelaki warga emas di Kampung Baru Puchong, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, setakat ini enam individu telah dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.
“Bagaimanapun, identiti suspek masih belum dikenal pasti dan usaha sedang dijalankan bagi mendapatkan motif kejadian serta mengesan pihak yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang mendapati punca kematian mangsa adalah akibat Multiple Sharp Force Trauma To The Head And Neck (kecederaan serius akibat objek tajam di bahagian kepala dan leher).
Tambah beliau, telefon bimbit dan senjata yang digunakan dalam kejadian itu masih belum ditemui.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang lelaki berusia lingkungan 70-an ditemukan maut dengan kesan kecederaan di kepala, telinga dan belakang badan pada kelmarin.
Wan Azlan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat itu pada pukul 3.04 petang daripada seorang wanita tempatan. – KOSMO! ONLINE